Friday, December 25, 2009

19 Calon PMR 2009 MTNP Mencipta Sejarah


DEWAN, 24 Disember 2009 - Seramai 19 orang pelajar MTNP berjaya memperoleh 9A atau straight A's dalam Penilaian Menengah Rendah 2009. Ianya merupakan satu kebanggaan besar buat Maahad memandangkan mereka adalah calon sulung PMR dari Maahad. Dan apa yang lebih penting kejayaan mereka ini mengangkat martabat al-Quran dan para huffaz serta menjulang nama Islam di mata masyarakat.

Jumlah calon dari Maahad adalah seramai 28 orang menjadikan peratus pelajar yang mendapat semua A ialah 67%. Walaupun jumlah calon yang berjaya mendapat semua A lebih sedikit dari kebanyakan sekolah elit lain, namun peratus semua A daripada Maahad berjaya mengatasi peratus-peratus dari sekolah-sekolah elit yang lain seperti Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib dan Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah.

Manakala, peratus lulus semua subjek MTNP berjaya dikekalkan iaitu 100%. Selain itu, peratus A bagi 8 subjek meningkat manakala satu subjek sahaja yang menurun jika dibandingkan dengan keputusan mereka ketika percubaan PMR.

Satu majlis ringkas telah diadakan ketika pengumuman keputusan dibuat dengan dihadiri oleh semua pelajar dan siswa-siswi Maahad, calon-calon PMR 2009, ibu-bapa mereka, serta semua kakitangan Maahad. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh KPP Akademik & Pentadbiran, Tuan Haji Abdullah bin Ismail, diikuti pengumuman keputusan oleh Penyelaras Kecemerlangan PMR, Dr. Abdul Rahim. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan oleh wakil Yayasan Pahang iaitu En Mahmud dan ucapan oleh Pengarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Dato' Haji Zulkefli bin Haji Ali al-Hafiz.

Sebaik majlis berakhir, satu sidang media telah diadakan di bilik mesyuarat MTNP. Para pelajar PMR telah mendedahkan rahsia dan teknik pembelajaran mereka yang membuatkan mereka mampu menguasai pelajaran di samping menghafaz dan melancarkan hafazan al-Quran mereka. Salah seorang pelajar, Mohd Nazmi bin Nordin berkata bahawa dengan menghafaz al-Quran, fakta-fakta penting dalam subjek akademik dapat dihafal dengan mudah. Beliau juga mendedahkan bahawa amalan-amalan ibadah sunat seperti solat hajat, qiamullail, dan bacaan al-Ma'thurat juga membantu dalam mencapai kejayaan. Mohammad Tajul Hayyi bin Mohammad Hayat yang juga mendapat 9A berkata bahawa soal permakanan juga perlu dititik beratkan kerana otak yang cergas terbentuk dari badan yang sihat.

Pihak MPP MTNP secara khususnya mengucapkan tahniah kepada semua pelejar-pelajar yang cemerlang ini. Semoga ianya akan menjana kecemerlangan mereka yang akan datang.



No comments:

Post a Comment

Advertisement

 

JAWI

Anda sering menaip jawi tetapi... terasa sukar menaip menggunakan sistem menaip jawi yang standard? Kami ada penyelesaiannya. Sila klik di sini untuk muat turun percuma.

Menghafal Al-Quran Cara Jibril