Saturday, January 2, 2010

BBQ Nite 2009 (Semester 6)

PANTAI SEPAT – Pada 1 Januari 2010, telah diadakan satu majlis yang dinamakan ‘BBQ NITE 2009’. Majlis ini telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar semester 6 sempena tahun akhir mereka berada di MTNP dan juga bagi menyatakan kesyukuran mereka.

Kami bertolak dari maahad pada pukul 4 petang. Perjalanan ke Oasis Beach Resort mengambil masa 15 minit. Setibanya kami di sana, kami diberi tugasan. Pelajar banin menghidupkan bara untuk membakar menu utama kami pada malam itu, iaitu ayam, ikan, arnab dan sotong. Terima kasih kepada Ukht Siti Zainab kerana menyumbang daging arnab. Pelajar banat pula ditugaskan untuk membersihkan kawasan resort yang dipenuhi dengan najis kambing dan lembu.

Tepat jam 5.45 petang, Pengarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Dato’ Haji Zulkifle bin Haji Ali al-Hafiz, tiba bersama keluarganya. Seterusnya diikuti oleh Teacher Asma’ bersama suami dan Ustaz Hamdan.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat hajat dan bacaan tahlil. Selesai solat Isya’ berjemaah, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh YdP MPP, Akh Abrar. Seterusnya ucapan dari Ustaz Redzuan bin Amat selaku Penyelaras Semester 6 merangkap guru tasmi’ pelajar banin semester 6. Beliau mengharapkan agar pelajar-pelajar semester 6 dapat menjaga hafazan 30 juzuk mereka. Seterusnya diikuti dengan ucapan Ustaz Mohd Zuhaidi bin Abd. Rahman selaku Penolong Pengarah Unit Diploma. Beliau menasihati pelajar-pelajar semester 6 supaya menyiapkan diri untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri di luar sana.

Seterusnya, para pensyarah dan hadirin dipertontonkan dengan persembahan multimedia yang telah memenangi tempat kedua pertandingan multimedia dan interaktif dalam Ihtifal Ilmi peringkat kebangsaan di Darul Quran. Persembahan itu merakamkan nostalgia-nostalgia pelajar-pelajar semester 6 selama mereka berada di maahad ini.

Acara kemuncak ‘BBQ NITE 2009’ disempurnakan dengan acara makan sambil dihiburkan oleh Huffaz Voice yang turut memenangi tempat ketiga pertandingan nasyid dalam Ihtifal Ilmi peringkat kebangsaan. Atas permintaan ramai, pelajar-pelajar semester 6 diminta membuat persembahan nasyid dengan lagu ‘Teman Sejati’. Kemudian kami dihiburkan lagi tayangan nasyid-nasyid yang pernah memenangi pertandingan nasyid oleh kumpulan The Hifz yang juga merupakan pelajar-pelajar MTNP.

Berakhirnya acara makan, maka berakhirlah majlis ‘BBQ NITE 2009’. Seterusnya pelajar-pelajar diploma yang turut hadir dalam majlis tersebut merakamkan detik-detik kenang-kenangan bersama pelajar-pelajar semester 6. Selepas selesai berkemas kami pun berangkat pulang ke maahad tepat jam 12 malam.










No comments:

Post a Comment

Advertisement

 

JAWI

Anda sering menaip jawi tetapi... terasa sukar menaip menggunakan sistem menaip jawi yang standard? Kami ada penyelesaiannya. Sila klik di sini untuk muat turun percuma.

Menghafal Al-Quran Cara Jibril